Thursday, October 6, 2011

Bila sesuai Jual balik Fund?

Pendekatan yang Wajar Mengenai Bila Patut Membuat Belian Balik Dana Anda
Terdapat banyak nasihat mengenai mengapa dan bila kita patut membeli unit amanah. Tetapi dalam soal mengenai belian balik pula, mendapatkan masa yang tepat dan sebab yang wajar untuk berbuat demikian ternyata merupakan tugas yang sukar.
Unit amanah merupakan instrument-instrumen yang terbaik untuk individu dan perancang kewangan korporat disebabkan oleh harganya yang termampu, kecairan dan kefleksibelannya. Untuk pelaburan jangka sederhana hingga panjang, unit amanah sememangnya merupakan pilihan yang menarik. Jika dipilih dengan berhati-hati dan disokong dengan nasihat daripada pakar yang layak, unit amanah boleh memberikan anda pulangan yang lumayan pada paras risiko yang dapat diterima. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana unit amanah lain, kita perlu mengikuti garis panduan tertentu yang wajar tentang bila hendak memegang dan bila hendak melepaskannya.
Nasihat yang paling biasa ialah bermula melabur dengan awal, serta memberi pelaburan anda masa yang cukup untuk mengaut pulangannya. Tetapi bagaimana jika pasaran yang meruap menyebabkan anda mempertimbangkan untuk menukar dana ekuiti anda kepada dana bon dan pasaran wang? Keputusan yang anda buat akan bergantung kepada keadaan portfolio pelaburan, matlamat kewangan dan toleransi risiko anda. Bagaimanapun adalah penting untuk memastikan dahulu sebab yang bijak dan wajar untuk berbuat demikian. Berikut adalah antara isu-isu yang patut diambil kira apabila membuat keputusan untuk membuat belian balik pelaburan unit amanah.

Prestasi Dana
Sebab paling biasa untuk membuat belian balik unit amanah ialah apabila dana merekodkan kerugian bagi pelabur. Namun begitu, ramai pelabur membuat kesilapan membuat belian balik disebabkan oleh prestasi buruk yang dicatatkan dalam jangka pendek. Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek adalah satu kesilapan kerana pelabur unit amanah dikehendaki mengambil pandangan berjangka sederhana hingga panjang untuk mengaut potensi sepenuhnya pelaburan mereka. Jika prestasi dana anda terjejas oleh keadaan pasaran yang buruk, anda hendaklah tetap berfokus kepada prospek jangka panjang pelaburan anda dan menghindari daripada godaan untuk berasa cemas.
“Pelabur unit amanah patut sentiasa berfokus kepada mencapai matlamat pelaburan mereka dalam tempoh sederhana hingga panjang, iaitu selama tiga hingga lima tahun dan bukannya bimbang tentang pergerakan harian, mingguan atau bulanan pelaburan mereka,” kata seorang pengurus dana.

Penyimpangan dalam Gaya atau Objektif Dana
Setelah membuat peruntukan aset yang terperinci secara berhati-hati, pelabur patut memilih dana yang paling sesuai dengan strategi mereka, dengan mengambil kira objektif pulangan, jangka masa dan toleransi risiko. Membuat pilihan dana yang betul adalah penting kerana jika dana mengambil risiko yang lebih banyak daripada apa yang mampu anda tanggung, anda mungkin terpaksa membuat belian balik dana dan membeli dana yang lebih sesuai. Selain itu, jika dana menyimpang daripada objektif pelaburan atau gaya pelaburan asalnya, maka perubahan tersebut sudah pasti akan menjejaskan pelan peruntukan aset anda dan perlu dikaji semula. Dana yang mengubah objektif pelaburannya dengan ketara boleh menyebabkan prestasinya menyimpang daripada objektif dan risiko profil yang anda ingini. Justeru itu, adalah penting untuk mengingati sebab asal anda membeli sesuatu dana itu.
Perubahan pengurus dana juga boleh menjadi sebab kepada perubahan gaya pelaburan. Walau bagaimanapun, ia tidak memerlukan anda terus menjualnya. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah memastikan pengurus baru itu mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menguruskan dana dengan objektif yang sama dan mengekalkan gaya pengurusan yang sama. Dana yang diuruskan oleh pasukan pengurusan yang stabil dan bereputasi baik selalunya akan mematuhi objektif dan gaya pelaburannya.

Sekiranya berlaku kecemasan
Oleh sebab unit amanah mudah dijual, pemegang unit boleh membuat belian balik kesemua atau sebahagian daripada unit mereka pada bila-bila hari perniagaan dan pengurus unit amanah akan membelinya. Ini bermakna sekiranya anda memerlukan wang, anda boleh menjual pelaburan dengan mudah. Kebanyakan unit amanah akan membenarkan anda menebus pelaburan anda pada sebarang hari perniagaan yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mencari alternatif kerana menebus dana boleh menyebabkan anda mengalami kerugian dalam jangka panjang – anda kehilangan manfaat pemurataan kos Ringgit serta faedah atas pokok dan faedah terkumpul. Bagi mereka yang benar-benar perlu menjual pelaburan mereka, pertimbangkan “kaedah kos purata” yang berupa menjual secara berperingkat-peringkat. Pelabur yang keluar dari kelas aset tertentu kemudiannya boleh perlahan-lahan beralih kepada tunai sebagai persediaan awal bagi menghadapi komitmen kewangan, misalnya perbelanjaan pendidikan.
Pokok pangkalnya ialah jika anda bercadang untuk membuat belian balik dana anda, pertimbangkan dahulu sebab-sebabnya dan pastikan ia berdasarkan pertimbangan yang bijak. Mengimbangkan semula portfolio anda berdasarkan keperluan atau situasi anda yang berubah sudah tentulah patut dibuat dengan kerap sekurang-kurangnya setahun sekali. Jika anda merancang untuk membuat belian balik hanya kerana hendak bertukar kepada dana lain atau kerana anda bimbangkan keadaan pasaran, kawallah dorongan hati anda dan ingat prinsip-prinsip strategi peruntukan aset yang sesuai. Dana yang dipilih dengan bijak yang cukup pelbagai akan menolong anda mencapai matlamat pelaburan jangka panjang anda.
Untuk maklumat lanjut, sila dail Talian Perkhidmatan Pelanggan Public Mutual di 03-6207 5000 atau layari www.publicmutual.com.my.